Wednesday, July 25, 2012

BILA USIA SEMAKIN SENJA

Assalamualaikum ...



Seperti tahun-tahun sebelum ini, setiap kali sambut Ramadhan ... aku akan baik kampung untuk tempoh 3-4 hari. Bersahur, berpuasa dan berbuka puasa dengan mak ayah selagi aku masih sorang. Dan untuk tahun ini, aku dah ambil cuti untuk balik kampung. Ia sememangnya menjadi kewajipan buat diri aku sejak 11 tahun lalui hidup dekat tempat orang. 11 tahun tu ... kalau nak diikutkan memang lama, tapi rasa alahai sekejaplah sangat.


Tahun ini, berpuasa dengan keadaan agak berbeza bila balik kampung. Mak ayah aku dah tak sekuat dulu. Ayah dah berusia 66 tahun dan disahkan menghidap kencing manis pada usia 65 tahun. Ayah kata dia bersyukur menghidap penyakit ini pada usia emas seperti sekarang kerana keringat dia sebelum ini telah dihabiskan untuk membesarkan anak-anak dengan kurniaan kesihatan yang terbaik dari Allah swt. Dia bersyukur selama ini dia sihat walafiat dan merasai sakit pada usia yang wajib untuk dirinya merasai sakit katanya. Sambungnya lagi, sudah sampai masanya! Bukan ayah tidak menjaga kesihatan dengan baik ... tapi, setiap sesuatu berlaku dengan sebab. Bila ayah berulang kali sebut, masa sudah sampai ... airmata aku bergenang sepenuhnya di kelopak mata!


Dan mak pula disahkan menghidap kencing manis pada awal tahun ini, pada usianya 62 tahun. Berbanding ayah, mak lebih kuat semangat ... mak juga seperti ayah, redha dengan segalanya ketentuan Allah swt. Mak seorang yang sangat rajin menjaga kesihatan sejak dulu. Makan ubat-ubatan kampung dan membuat pemeriksaan kesihatan setahun sekali di klinik kerajaan. Seolah menjadi rutin walaupun dia hanyalah seorang tua dari kampung yang tidak mempunyai pendidikan tinggi tapi mempunyai kesedaran sendiri mengenai penjagaan kesihatan diri. Itulah mak aku!!


Walaupun seakan pada zahirnya mak ayah nampak sihat, tapi kudrat mereka telah tua. Semakin aku pandang wajah mereka, hati aku semakin sayu. Ayah tidak lagi sesihat dulu, dia tidak lagi mampu memandu kereta sejauh mungkin. Pening katanya. Ye, aku faham! Tidur malam ayah sering terganggu sejak disahkan menghidap kencing manis. Kadang dia tidak tidur malam. Dan siang baru mata ingin pejam. Setiap hari ayah kena makan ubat!


Dan mak pula, tak mampu berjalan jauh. Kalau ke mana-mana dengan aku pastinya tangan dia aku pimpin. Kalau dulu mak solat berdiri, sekarang ... mak hanya mampu solat sambil duduk. Bila tanya, mak akan cakap lutut dia dah tak kuat. Sesekali jika mak merasakan dirinya sihat, barulah dia akan solat berdiri.


Yang semakin menjadi kerisauan aku ... kesedihan aku, tiada siapa di kampung. Hanya mengharapkan saudara mara sebelah rumah. Tapi apalah sangatkan. Anak-anak mak ayah semuanya jauh di perantauan. Hanya telefon menjadi penghubung. Hanya 2-3 bulan sekali anak-anak ambil cuti balik jenguk mak ayah.


Walaupun usia mak ayah dah senja, sampai hari ini ... mereka masih 'kuat' menjemput dan menghantar aku ke terminal bas ataupun airport setiap kali balik kampung. Kasih dorang pada aku dan adik-beradik yang lain hanya Allah swt yang mampu membalasnya. Berbanding adik beradik yang lain, mak ayah lebih menyatakan kerisauan mereka pada kehidupan aku. Dan aku pula sibuk menyimpan rasa kerisauan aku terhadap mak ayah yang jauh di kampung!


Untung siapa yang ada mak ayah depan mata atau yang mudah untuk dijenguk. Hargailah selagi ada, selagi ada depan mata, selagi kita boleh peluk dan kucup pipi mereka!! Selagi kita mampu untuk bersalaman dan cium tangan mereka, buatlah selagi boleh. 








CK : Sampai masa kita pula berada di tempat mereka!!

4 comments:

  1. Apa yang berlaku kat ko sekarang,sebiji sebijan sama dengan aku. =)

    Harap mereka terus sehat adanya. =)

    ReplyDelete
  2. CK,

    Menyentuh perasaan saya, betul apa you ceritakan.

    ReplyDelete
  3. @terajang betul betul Insya Allah, sama2 kita doakan mereka sentiasa sihat, diberikan ingatan yg kuat dan dipanjangkan usia hendaknya

    ReplyDelete
  4. @rosli Beginilah hakikat kehidupan tuan. Masa muda, kudrat masih kuat dan masa itu sibuk membesarkan anak2. Bila dah usia senja, kudrat tidak seberapa, dan anak2 yang dibesarkan jauh pula diperantauan. Sayu hati .... tapi inilah hidup. Cuma doa dari jauh untuk kesejahteraan mereka dan dilindungi Allah hendaNya.

    ReplyDelete

Tinggalkan komen di sini ... Terima kasih ;=)

MAKLUMAN : Jangan Tinggalkan Komen Berbentuk URL Link. Komen Berbentuk URL Link Akan Di Delete Bagi Mengelak Blog Ini Dianggap Sebagai "BLOG SPAM" Oleh Pihak Google!