Saturday, February 19, 2011

Berikanlah Anak Sedikit "Kebebasan" Dipantau .....

Assalamualaikum ....


Semua daripada kita menginginkan kehidupan yang sempurna. Melengkapkan fasa-fasa kehidupan dengan melalui keindahan dan nikmat anugerah DIA. Berapa jumlah fasa kehidupan kita yang sebenar, saya sendiri tidak pasti. Yang saya tahu fasa kehidupan kita bermula dari Alam Roh, Alam Rahim, Alam Dunia, Alam Kubur dan Alam Akhirat! Yang saya tahu, selebihnya banyak yang saya tidak tahu.

Saya cuma ingin menarik minat pembaca tentang fasa kehidupan di ALAM DUNIA! Ini hanya satu pendapat dan tidak perlu emosi bila membaca. Pendapat tiada yang betul dan tiada yang salah. Semestinya ia subjektif! Titik.

Bermula saat kita dilahirkan. Sudah pasti kita dilimpahi sepenuh kasih sayang oleh ibu, ayah, abang, kakak, datuk, nenek dan semua yang ada pertalian darah dengan kita. Semestinya kelahiran kita sesesuatu yang dinantikan. Sedangkan pada saat itu, yang kita tahu hanya menangis bila lapar, kesejukan dan kesakitan! Bercakap? Langsung tidak tahu....

Pelukan kasih sayang daripada keluarga terus membuatkan kita membesar dengan suasana yang "aman" dan tersendiri bergantung kepada didikan keluarga masing-masing. Ada sesetengah daripada kita, membesar menjadi "anak emak" atau "anak ayah"!. Segalanya dituruti sehingga tidak berpeluang melalui dan memenuhi keinginan sendiri seperti kawan-kawan lain.

Bila ayah cakap "A". Kita menerima ia sebagai "A". Bila ibu cakap "B", kita juga mengangguk ia sebagai "B". Dan menyedihkan bila ibu dan ayah tidak menghiraukan tentang perasaan seorang anak. Benar sekali anak adalah anugerah Allah yang menjadi pinjaman mutlak ibu dan ayah di dunia. Kerana itulah kebanyakan ibubapa menggunakan kuasa veto mereka untuk menggerakkan anak-anak menuruti segala kehendak mereka 100%! Pernah atau tidak kita dengar sama ada dalam sebuah drama tv atau realiti kehidupan seorang ibu atau ayah berkata,

"Kalau aku tahu kau nak jadi macam ini hari ini.....kecik-kecik dulu aku picit hidung kau sampai mati! Besar-besar menyusahkan mak bapa!"

Pernah dengar? Kalau tengok drama Melayu di tv mesti pernah dengar bukan?! Bila anak-anak menjadi nakal campur jahat. Dialog ini ada dalam drama Melayu dulu-dulu sekitar tahun 90-an. Sekarang saya tak pasti. Sebab banyak sangat drama cinta dan hantu! Atau mungkin anak-anak sekarang cukup baik. Tetapi tidak semua ibu bapa begitu. Sila jangan salah faham.

Bila anak semakin membesar dan dewasa. Bermula dari tadika. Sekolah rendah. Sekolah menengah. Dan anak mula melepasi peperiksaan sekolah yang kadangkala menjengkelkan kepala otak. Ada susah ada senang. Tidak semua anak yang dilahirkan itu bijak dan pandai. Bila ada salah seorang anak tidak mencapai sasaran yang diharapkan atau buku rekod kemajuan berwarna merah. Pasti ada bapa yang tidak mahu tandatangan buku rekod kemajuan berkenaan. Malu! Katanya seolah anak tidak pandai. Tengah makan bersembang pasal anak orang lain yang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi awam.

"Anak orang sebelah kedai hujung kampung balik simpang kanan tu dapat pangkat 8A1 SPM. Anak sulung Pak Ahmad yang dekat simpang sekolah rendah sebelah pejabat pos kat pekan tu anak dia pun pandai! Dapat 10A. Anak Cik Minah yang jual kuih naik basikal tu boleh tahan jugak maknya! 20A! Semua A dia ambik ..... Bijak sungguh!"

Gulp! Anak orang hebat! Tapi anak kita yang hebat depan mata. Tak dipuji. Betul orang cakap. Kita nampak pagar rumah orang memang cantik, tapi kita tak tahu isi di dalam rumah elok ke tidak? Kita selalu tak nampak pagar rumah sendiri walaupun hari-hari depan mata! Kenapa??

Kerana tercabar si anak berusaha bersungguh-sungguh. Dengan muka tak malu memohon untuk belajar semula bagi mencuba kali kedua. Mungkin telinga pedih mendengar si bapa bercerita tentang betapa bijaknya anak orang lain. Kalau dah jadi "anak ayah" atau "anak ibu" memang susah. Kadangkala anak terpaksa menelan kepahitan, memendam rasa dan mematikan segala impian serta kehendak hidupnya semata-mata ingin memenuhi kehendak ibu dan bapa! Tapi adakah ibu atau bapa bertanyakan minat sebenar si anak?? Ada?? Tiadakan ....

Kadangkala ibubapa perlu memberikan sedikit "kebebasan" yang dipantau kepada anak-anak. Jangan membiarkan anak-anak membesarkan 100% dengan telunjuk kita sendiri. Mereka tidak akan membesar dan matang sebagai manusia yang mampu membuat keputusan optimis. Mereka akan menjadi manusia yang dipekung oleh segala tindak tanduk kita. Fasa kehidupan mereka lebih kepada ingin membuatkan orang lain rasa gembira dan bahagia. Tanpa memikirkan keadaan, nasib serta keinginan diri sendiri yang perlu dipenuhi.

Sedar atau tidak kadangkala didikan ibubapa membunuh dan membantutkan serta menjadikan fasa kehidupan anak sendiri tidak sempurna! Dan keadaan akan menjadi lebih teruk bila anak sudah dewasa. Telah memenuhi segala keinginan ibubapa. Berkorban masa untuk mendapat sekeping ijazah hanya semata-mata ingin memastikan dirinya setaraf dengan anak orang lain agar ibu dan terutamanya bapa merasa bangga dan boleh disebarkan ke seluruh kampung. Serta anaknya mampu memegang jawatan besar! Jodoh anak pun ingin dipilih! Sangat kesian.

Masa belajar tiada percintaan! Larangan 100% untuk bercinta semasa di zaman persekolahan atau kampus. Ini memang bagus dan saya setuju. Tapi kalau hanya setakat berkawan. Salahkah? Asal kawan mesti ingat bercinta? Kenapa? Bila anak adalah pemegang sekeping ijazah maka menantu pun mesti ijazah! Ada ijazah .... tak ada kerja pun takpa! Nanti boleh gigit ijazah itu sorang sikit sampai kenyang. Boleh macam itu? Dan akhirnya anak makan hati. Memendam rasa. Bila cinta dan kasih sayang itu fitrah kepada manusia, tetapi tidak mampu dipenuhi kerana terlalu ingin memenuhi hasrat ibu dan bapa! Serius sangat kesian. Bukan anak memilih jodoh tetapi ibubapa terlalu memilih jodoh untuk anak sendiri! Mungkin si anak takut menjadi anak derhaka. Dan bila anak tidak bertemu jodoh...anak pula yang dipersalahkan?

Ibubapa. Berikanlah anak-anak sedikit "kebebasan" yang dipantau. Kebebasan untuk buat pilihan sendiri. Kebebasan untuk menentukan masa depan sendiri. Memang anak adalah tanggungjawab ibubapa. Tapi itu bukan bereerti kita perlu membuat anak-anak bagai patung yang boleh kita tolehkan kepalanya ke kanan dan ke kiri. Mereka juga ada perasaan yang perlu kita hormati. Anak-anak cuba menjaga hati dan hormat ibubapa. Atas kesedaran kerana kasih ibubapa mereka berada di ALAM DUNIA ini. Ibubapa jangan terlalu emosi dan mengatakan apa yang anak-anak lakukan SEMUANYA SALAH hanya semata-mata ia tidak selari dengan apa yang kita inginkan.

Dan sedar atau tidak kerana sikap sesetengah ibubapalah yang menyebabkan fasa kehidupan ALAM DUNIA anak-anak menjadi tidak lengkap dan tidak sempurna?? Dan ibubapa mula meletakkan kesalahan itu pada anak-anak kerana ketidaksempurnaan itu tanpa merasa sedar walaupun sedikit yang ketidaksempurnaan itu sedikit sebanyak berpunca daripada diri mereka sendiri.

Adakalanya ibubapa rela mendengar satu pembohongan kerana ia memberikan satu senyuman buat dirinya daripada mendengar satu kebenaran dari seorang anak yang akhirnya menjadi satu kemarahan bertubi-tubi buat dirinya! Anak yang tidak pandai menipu menjadi serba salah .... perlukah menipu untuk buat ibu dan bapanya tersenyum dan dirinya ditatang??

Kalau anda sedang membaca sehingga baris ini dan anda adalah IBUBAPA, teruskan pembacaan sehingga baris di bawah ini.


"Berikanlah Anak Sedikit "Kebebasan" Dipantau"




CK : Bila saya jadi ibu...saya akan tahu semua. Tapi bila saya tidak pasti. Senyum-senyum!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen di sini ... Terima kasih ;=)

MAKLUMAN : Jangan Tinggalkan Komen Berbentuk URL Link. Komen Berbentuk URL Link Akan Di Delete Bagi Mengelak Blog Ini Dianggap Sebagai "BLOG SPAM" Oleh Pihak Google!