Sunday, July 3, 2011

Menulis Bukan Suatu Perkara Yang Senang!

Assalamualaikum ...

Saya bersyukur saya adalah seorang blogger. Sehingga hari ini saya masih meneruskan minat untuk menulis. Menulis tanpa hala tuju yang sebenar. Serius! Cuma memenuhi tuntutan jiwa yang sentiasa bergelodak, "AKU INGIN MENULIS!". Berpindah dari diari yang di simpan dan di simpan hingga menjadi kenangan saya beralih ke dunia blog. Sehinggakan ada tulisan dan diary saya dibuang begitu sahaja. Rugi!!

Sehingga hari ini saya telah punyai 3 blog dan blog yang ke-3 ini seolah memberikan saya satu jiwa yang amat berlainan rasanya. Sukar diterjemahkan. Mungkin indah bagai cinta si uda dan dara. Alangkah beruntung jika dulu, seawal saya kenal dunia blog pada tahun 2005 ... mungkin hari ini dengan idea dan kerajinan yang ada saya telah jauh melangkah! Mungkin! Saya tidak mengatakan ia amat pasti. Tahu kenapa saya hanya berkata mungkin? Kalau pun jiwa saya benam pada penulisan, tapi kekangan saya pada masa itu tidak akan membawa saya sejauh mana. Kenapa? Saya tidak mampu membeli komputer riba dan melanggan talian internet di rumah! Jadi tidak mungkin saya bersiaran sepanjang malam. Itu cuma alasan ... saya akan korek semula buku-buku nota tulisan saya! Itu pun jika ia masih tidak terbakar dimamah api sampah ibu saya di kampung. 

Menulis bukan suatu perkara yang senang ...

Saya akui menulis bukan satu perkara yang senang! Ingin membawa bait kata kita  agar mampu diselami oleh pembaca amat susah. Amat payah. Tapi bukankah saya manusia yang selalunya amat optimis tentang kehidupan. Biarpun ditikan bertubi-tubi pun masih gigih untuk bangun, berjalan dan berlari!! Cuma saya tidak mampu menerbangkan diri kerana tiada sayap. Namun, jika Airasia dan MAS sudi menerima tempahan saya ... pasti saya terbang jua! Ada masanya walau saya tiada sirip dan insang saya masih mampu untuk  berenang. Tapi saya bukan seekor ikan. Lihat ... betapa optimisnya saya tentang kehidupan yang kadangkala memberikan saya airmata. Namun, selebihnya adalah gembira. Mungkin!. Jadi saya anggap menulis perkara yang senang jika kita memang mahukannya! Fikirlah ... mahu menulis dengan jiwa dan rasa atau mahu menulis dengan nafsu serakah yang tidak kira masa. 

Cita-cita Penulis!

Ya ... itu cita-cita saya semasa usia 15 tahun. Dulu. Saya budak kampung. Terkongkong. Ada masanya minda sempit. Peluang amat sukar untuk datang dan membawa saya menggilap kebolehan yang ada. Cuma meleleh air liur yang ada melihat abang dapat mengejar setiap peluang kehidupan datang dalam dirinya. Serius cemburu! Ketika itu saya hanya menjadi seakan seekor katak di bawah gelas yang mampu memandang dan tidak mampu berbuat apa-apa! Tapi sebenarnya saya bukan seekor katak pun! Kalau katak, pastinya saya berkaki empat dan sedang melompat ketika ini. 

Saya terbalikkan gelas yang menelangkupkan diri saya! Saya menulis puisi, sajak dan bukan pantun. Tulisan saya tapi nama adik-adik saya! Untuk apa? Pertandingan Menulis di sekolah mereka. Permainan kotor mungkin, adik saya menang tempat pertama kerana tulisan sajak "Sungaiku". Gila bukan! Tapi jiwa saya melonjak untuk menulis. Maaf cikgu-cikgu SKAJ! Saya terpaksa. Hadiah tempat pertama itu 2 buah novel!.

Saya berjaya!

Hari ini saya berjaya. Memenuhi tuntutan jiwa. Berjaya hanya menjadi seorang penulis blog. Picisan! Tapi sekurang-kurangnya saya dapat melampiaskan cita-cita dan keinginan saya yang satu .."PENULIS". Saya ingin punya pembaca setia di sini. Sungguh!! Itu impian saya. Saya juga ingin berkongsi segala macam idea dengan mereka, nasihat, motivasi, cerita kehidupan atau apa sahaja yang selayaknya saya kongsikan! Saya bukan gila traffic ke blog ini tetapi saya gilakan PEMBACA SETIA! Itu yang susah untuk saya cari. Tapi akan saya usahakan jika masa sentiasa mengizinkan ia untuk berlaku.

Saya bangun untuk menulis setelah dikeji dan diperli ribuan kali! Kerana itulah blog ketiga ini wujud. Bukan semua mereka yang dekat dengan saya memberikan sokongan. Untuk mendapatkan satu kepercayaan daripada seseorang saya perlu membuktikan bahawa saya mampu melakukan. Jika tidak seharian saya dibahankan tanpa belas. Tapi saya diam. Namun, hari ini saya berjaya dalam konteks dan target diri sendiri. Mempunyai pembaca setia walaupun tidak seramai mana. TERIMA KASIH buat mereka. Dan meyakinkan mereka bahawa ... "menulis bukan perkara yang buang masa!".

Mampukah saya? Semuanya bergantung kepada usaha sendiri dan izin dari Maha Pencipta! Menulis bukan suatu yang senang ....


Terima kasih baca sehingga NOKTAH YANG TERAKHIR!


CK : Petang .... yang kian sunyi! Malam akan datang menyambung tugasnya. Dan kelam akan ditemani bulan yang sepi!

2 comments:

  1. bukn sng nk jd pnulis yg hbt,tp ckplh tuk jdkn dr kita seorg pnulis yg setia..

    ReplyDelete
  2. jangan risau CK, anda sudah ada pembaca setia. :)

    ReplyDelete

Tinggalkan komen di sini ... Terima kasih ;=)

MAKLUMAN : Jangan Tinggalkan Komen Berbentuk URL Link. Komen Berbentuk URL Link Akan Di Delete Bagi Mengelak Blog Ini Dianggap Sebagai "BLOG SPAM" Oleh Pihak Google!