Tuesday, June 21, 2011

Rezeki Di Tangan Allah ... Siapa Kita Untuk Mengambil Hak Orang Lain??

Assalamualaikum ...

Rezeki! Jangan sempitkan pemikiran rezeki itu hanya wang semata-mata. Bila sebut rezeki, kebanyakan kita menyempitkan ia hanya kepada wang semata-mata. Sedangkan banyak lagi bentuk rupa rezeki dari Allah yang tidak kita sedari. Tanpa kita sedar rezeki Allah itu hadir dalam pelbagai bentuk dan rupa. Jodoh (suami/isteri), anak-anak, kesihatan, wang ringgit, harta dan kenaikan pangkat serta gaji adalah antara rezeki yang dihadirkan oleh Allah kepada kita sebagai hambaNya. Tanggungjawab kita hanyalah berusaha ... berusaha ... berusaha ... berdoa dan berserah kepada Dia!

Tersentuh saya menulis perihal rezeki. Semuanya adalah kerana "tazkirah" yang tidak sampai 30 minit oleh salah seorang yang boleh dianggap client saya. Saya anggap ia sebagai takzkirah tapi sebenarnya hanya bualan biasa sahaja. Bualan yang masih ada saling hormat menghormati di antara kami ketika itu. Terima kasih kepada klik saya ... kerana turut memanggil saya atas urusan kerja yang perlu saya bantu walaupun masa itu sepatutnya saya REHAT! 30 minit yang memberikan kesan di hati bila si client ini membicarakan soal rezeki dari Allah Ta'ala!

Apa yang buat saya terfikir bila si client ini membicarakan .... "bila rezeki itu tidak ditakdirkan buat kita, pasti walau apa cara sekalipun ia tidak akan sama sekali menjadi hak kita!". Saya terdiam. Mengiyakan segala kebenaran kata-kata dari si client ini. 

Si client mengadu bahawa sehabis baik dia mencuba untuk tidak mewujudkan unsur-unsur yang tidak baik dalam perniagaannya bila berurusan dengan sesiapa yang berkepentingan untuk mendapatkan projek. Semuanya mengikut saluran yang sepatutnya. Zaman sekarang ... duit kopi ... bawah meja ... balik pintu atau sebagainya seolah menjadi "makanan" kepada sesetengah yang mempunyai kepentingan dalam bekerja. Kebanyakannya dikaitkan dengan orang kerajaan. Sedihnya saya! Suruh itu ... mahukan komisyen. Suruh ini ... mahukan percent. Suruh itu ini ... mahukan upahnya di bank in dalam akaun sedia ada! 

Menggeleng kepala saya mendengar cerita. Dan menggeleng juga hati saya bila "si ketua" yang saya ada juga bersikap hampir sama (malah dia bangga berbuat demikian serta menjaja cerita satu pejabat ... terasa keji di situ!). Bila bahagia, saya diabaikan. Makan komisyen sesama mereka. Tapi bila sengsara baru wujud saya dipedulikan. Oh! saya tidak lupa ... sayakan ibarat "detective conan" ... menyelesaikan masalah yang ada! Tak kisah ... janji Allah tahu niat saya bekerja.

Sambung si client ini, dia berusaha untuk mendapatkan projek yang bagus-bagus dan baik-baik. Tapi dia gagal kerana ... tiada sebesar2 kabel untuk membantu  ... gagal kerana penuh kejujuran ... dia gagal kerana tak mampu nak beri suapan! 


Tapi ...


Dia sentiasa percaya rezeki itu datangnya dari Allah Ta'ala. Setiap kegagalannya dijadikan sebagai salah satu untuk muhasabah diri. Dia gagal tetapi tidak menyalahkan orang lain malah jauh sekali untuk menyalahkan  Tuhan yang menciptakan dirinya. Dia anggap kegagalan itu mungkin disebabkan keculasannya melaksanakan tanggungjawab dan perintah dari Allah Ta'ala. Mungkin solatnya dilewatkan ... itu katanya! Malu saya. Terdiam. Ya-Allah ... masih ada manusia sebegini! Manusia yang benar-benar menyerahkan diri pada Allah bila telah berusaha dan berdoa! Tiba-tiba terasa seakan diri saya lebih kecil dari semut merah yang melata di batang kayu mati! Ya-Allah ... petunjuk apakah yang Kau berikan pada aku tadi??

Sambil tersenyum begitu ligat dia bercerita. Dengan nada suara yang sederhana. Saya dan klik hanya senyum dan menokok tambah sorang sedikit. Namun, saya tetap merasa diri terlalu kerdil. 

Katanya lagi, "Jika rezeki itu bukan hak kita dan kita menggunakan cara-cara yang tidak elok untuk mendapatkannya, pasti jua musibah akan datang menimpa! Mungkin perniagaan kita akan lingkup. Tetapi jika rezeki itu sudah ditentukan buat kita ... walau seribu halangan yang terpaksa kita berhadapan ... pasti akan menjadi milik kita. Rezeki itu ditangan Tuhan, kita ini hanya perlu berusaha dan berdoa. Tuhan akan beri rezeki kepada setiap hambaNya yang berhak. Jadi tak perlulah ... kita menghalang rezeki hidup orang lain!".

Si client bercerita ... dan kepala saya ligat berfikir! Saya memang tidak pandai politik kerja. Malah saya terlalu bodoh dalam bab membodek. Ada sebabnya kenapa Allah jadikan saya ini seakan pendiam. Hikmah yang saya dapat hari ini. 

Sebenarnya saya tidak perlu risau bila ada yang ingin menjatuhkan saya ... dan sedang cuba menabur pasir dalam rezeki saya! Bila ada yang ingin jatuhkan saya bermakna saya berada di atasnya. Bermakna saya lebih hebat daripadanya. Bila "dia" sibuk mengambil alih tugas saya ... saya tak faham apa yang dia akan dapat? Pangkat saya yang tak seberapa? ... Pastinya tak mungkin! Dia akan dapat penat sahaja! Sepatutnya dia bijak berfikir di mana kedudukan diri dan rezeki dia sekarang. Jangan terlalu taksub dan terlalu mengikut apa yg salah dari seorang ketua, kerna bila si ketua jatuh kita akan kehilangan tongkat. Tapi teguhlah dengan pendirian sendiri  dan cara kerja yang betul agar ... kita selesa berada di mana-mana sahaja!


Saya rasa amat beruntung hari ini! Si client ini buat saya tidak perlu risau lagi. Ya ... memang benar rezeki itu di tangan Tuhan. Kepada siapa yang ingin Tuhan berikan rezeki itu ... tiada tangan yang akan dapat menghalangnya!



CK : Harta dunia makin dikejar ... makin jauh ia pergi! Usaha sahaja  .... doa dan tawakal! Insya-Allah pasti ada rezeki yang akan berpihak nanti!

2 comments:

  1. sokong sangat. sekarang, projek walaupun rm100k, tapi nilai disogok lebih dari itu. kerana apa? kerana nak jaga reputasi syarikat.

    ishh.. rezeki haram tak lekat lama.. cari rezeki halal, walaupun sikit, ade berkatnya.

    ReplyDelete
  2. Lagi perkongsian yang bernas.
    Seronoknya jika kita punya teman yang selalu mengingatkan diri kita. InsyaAllah, akan Awan ingat intisari entri kali ini. Seronok baca.

    ReplyDelete

Tinggalkan komen di sini ... Terima kasih ;=)

MAKLUMAN : Jangan Tinggalkan Komen Berbentuk URL Link. Komen Berbentuk URL Link Akan Di Delete Bagi Mengelak Blog Ini Dianggap Sebagai "BLOG SPAM" Oleh Pihak Google!