Saturday, February 4, 2012

SELAMAT HARI LAHIR CINTA HATI DUNIA AKHIRAT!

Assalamualaikum ...





Entry ini amat penting  berbanding entry-entry yang lain. Penting bagi aku dan juga hidup aku. Entry meluahkan rasa cinta dan kasih sayang yang kadang tidak terucap oleh bibir sendiri. Yang kadang lebih rela terpendam dalam hati. Hanya perbuatan dan tingkah laku menggambar segala kasih sayang dan cinta terbuku di hati. Kejamkan aku? Tapi aku tahu dia, si cinta hati aku ini amat memahami. Kadang tidak perlu melahirkan kata-kata, dia telah tahu. Ya, memang dia tahu! Oleh kerana dia tahu, jangan sesekali untuk berbohong. Gerak hati cinta hati aku tidak sama seperti aku.



Tak pernah sekali pun aku menulis tentang dia, tapi aku tahu aku amat sayangkan dia dunia dan akhirat ku. Aku lebih gemar menulis bila dalam sedikit masa dia buat seolah tidak memahami pendirian dan keputusan aku. Aku tulis, "kenapa tidak adil untuk aku!". Lepas itu aku menangis. Aku seringkali buat hati dia robek, robek dan robek. Tapi, tak pernah pun dia menangis di depan aku. Jauh sekali untuk menjadi manusia yang emosi. Dia lebih rela menteramkan diri aku yang emosi, baran dan degil ini. Walaupun aku tidak pernah melawan dia dengan kata-kata dalam nada suara tinggi, tapi aku memberontak dalam diam aku.



Dia seorang yang amat tabah. Dialah cinta hati aku dunia akhir. Lahir dalam kemiskinan. Kekangan kewangan menghalang segala cita-citanya. Kadang kala nasib dia tidak diadili oleh ibu sendiri. Tapi dia tetap tabah. Baginya ibu tetap ibu, walau kadang ibu tidak mampu berlaku adil dalam kasih sayang kepada anak-anak. Anak-anak perlu memahami. Anak-anak perlu berterima kasih. Anak-anak perlu punya rasa bertanggungjawab walau ibu tidak adil. 



Aku seringkali mengalir air mata tatkala dia menceritakan tentang kesusahan hidupnya. Kehidupan sekolahnya. Kemiskinan yang dia lalui. Serba serbi kekurangan. Namun, dia tetap bersyukur. Dari usia yang amat muda, dia seringkali menadah tangan berdoa .... biar kemiskinan yang ditanggung tidak selamanya dan tidak diwarisi oleh anak-anaknya, biar dia bertemu jodoh dengan seseorang yang boleh menjaga dia dengan baik dunia dan akhirat. Mendoakan agar jodohnya dapat memberikan apa yang dia tidak mampu miliki pada usia kanak-kanak, remaja dan mudanya. Doa dengan itu menjadi satu rutin dalam hidupnya yang serba serbi kekurangan. 



Aku seringkali teresak bila dia meluahkan, tentang hidup kanak-kanaknya. Pagi bersekolah dan menjual kuih sekaligus. Petang pergi ke bendang. Balik rumah dan memasak untuk keluarga. Begitulah berulang rutin hidup setiap hari. Pergi ke sekolah dengan  kasut yang robek, pensil yang hanya sepanjang jari kelingking, duit yuran kadang tidak termampu dibayar, tidak pernah membawa duit poket ke sekolah dan diejek kerana kemiskinan. Tapi semua itu bukan halangan buat dirinya. Biarpun miskin, ibu dan ayahnya masih mampu menyara dia sehingga ke tingkatan 3 aliran agama. Alhamdulillah. Masih ada kesedaran tentang ilmu dalam hidup ibu dan ayahnya. Tapi kerana kemiskinan, dia memendam segala cita-citanya untuk menjadi seorang cikgu. Kerana kemiskinan dia memberi laluan kepada adik-adik lain yang belum lagi belajar. Dan dia berhenti persekolahan kerana kemiskinan itu!



Dia berhenti sekolah secara rasmi pada tingkatan 3 kerana kemiskinan yang menjengah kehidupannya, tapi sehingga hari ini secara tidak rasmi dia masih lagi belajar dan belajar ilmu dunia dan akhirat. Aku puji kerajinannya. Dia adalah manusia yang tidak pernah kenal erti penat. Dia memang tabah. Katanya, dia tetap bersyukur,  dia boleh membaca, menulis dan mengira dengan baik. Dia bukan buta huruf seperti orang lain katanya. Sekarang, bagi aku cita-cita dia sebagai cikgu sudah tercapai walau bukan menjadi cikgu kerajaan yang terima gaji setiap bulan. Dia menjadi cikgu kepada anak-anaknya yang nakal, degil dan kadang-kadang tidak mendengar cakap. Dia juga menjadi cikgu memasak kepada anak-anaknya sendiri. Dia juga dengarnya menjadi cikgu Al-Quran kepada rakan-rakan sekampung yang sebaya umurnya. Alhamdulillah, dia tetap menjadi cikgu tanpa dia sedar!



Kepayahan dia, kepenatan hidup dia dan kemiskinan dia ... mungkin Allah telah menarik semula. Hidup dia sudah senang malah aku rasa dia tenang sekarang ini. Doa dia didengari Maha Pencipta. Segala penat jerih dulu, segala kesusahan dulu, segala airmata yang berguguran dulu dan segala ketidakadilan yang pernah menjadi milik dia ... telah Allah jauhkan dari hidupnya. Doanya tentang jodoh dimakbulkan Yang Maha Esa. Dia dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab, tegas dan segala-gala apa yang dia idamkan ada pada lelaki yang telah berpuluh tahun menjadi suaminya! Alhamdulillah. 



Kalau dulu dia hanya terperuk di rumah. Seringkali ditinggalkan. Seringkali dinafikan. Sekarang, serata tempat di Malaysia telah kunjungi kecuali Sabah, Sarawak dan Labuan. Dia telah mengerjakan haji dengan cinta hatinya dengan hasil usaha bekerja di bendang suaminya sendiri. Selain menjadi isteri, ibu kepada anak-anak lelaki yang menyunting hatinya dulu dia juga menjadi kawan dan sahabat kepada suami sendiri! Dia yang membantu urusan sawah padi semasa si suami keluar bekerja di kilang. Dia yang menjaga semua harta suami dengan baik. Dia menjadi isteri yang amat mendengar cakap. Dia menjadi isteri yang amanah. Dia menjadi isteri yang menyediakan makan dan minum dengan airtangan sendiri. Ya-Allah, besarnya jasa dia sebagai isteri dan ibu!



Walaupun terkadang dia makan hati dengan sikap anak-anak dan kadang suami. Dia tetap senyum. Aku sendiri tidak pernah melihat cinta hati aku ini mengalirkan airmata. Tidak pernah! Aku kagum dengan ketabahan dia. Dia berkata kalau sedih adalah lebih baik mengadu dengan Allah kerana dia Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan Maha Penyayang. Ya, selama aku hidup dengannya tidak pernah aku lihat dia meninggalkan solat wajib 5 waktu. Malah, dia amat rajin bangun solat 1/3 malam. Bila semua suami dan anak-anaknya tidur, dia akan bangun menadah tangan kepada yang Maha Esa. Setiap kali anak-anak akan menghadapi peperiksaan, solat 1/3 malamnya akan menjadi semakin kerap!



Inilah dia kisah cinta hati aku yang menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-60 tahun pada hari ini, 4 Februari! Cinta hati dunia dan akhirat aku.  Lahir pada 4 Februari 1952. Sudah 60 tahun, seorang ibu yang bernama Puan Radauibah binti Man di dunia ini, dan belum pernah sekali aku lihat dia menangis. Dia seorang ibu yang sangat cekal, tabah dan kuat semangat hadapi susah payah dalam hidup ini! Dialah isteri, ibu, sahabat dan teman. Dia juga adalah cikgu pertama buat 4 orang cahaya matanya. Berkat gigih usaha, doa dia bersama ayah dan dengan izin Allah ... semua anak-anaknya dapat lanjutkan pelajaran ke IPTA. Itu yang dia inginkan dan dia selalu berkata, "mak dulu belajar sampai tingkatan 3 sebab wan dengan tok orang miskin, mak nak anak-anak mak semua belajar tinggi-tinggi dan lebih bijak dari mak!".




Buat mak, "walaupun kakak jauh dari mak sekarang ini, kakak doakan mak sentiasa sihat selalu di hari ulangtahun mak yang ke-60 dan di hari-hari mendatang. Kakak doakan mak sentiasa diberi kesihatan yang baik, diberikan ingatan yang baik dan tajam untuk  memudahkan mak ingat dan hafal ayat-ayat suci Al-Quran, diberi keberkatan dalam hidup, diberi ketenangan dan kegembiraan dan dipanjangkan umur olehNya. Mak, semoga apa yang kakak doakan dimakbulkan oleh Allah dan oleh itu mak akan terus dapat beri anak-anak mak dan Ayah kasih sayang yang tiada henti, doa yang tidak pernah rasa putus asa dan menjadi bahu untuk tempat kami bersandar! 


Mak, kakak harap Allah sentiasa memberkati hidup mak. Walaupun mak tak pernah pun dapat anugerah ibu mithali, tapi mak adalah ibu dan isteri mithali di hati kami anak-anak dan Ayah juga dunia dan akhirat kami!. Mak, terima kasih kerana di usia 60 tahun mak masih kuat dan bersemangat melayan karenah kami yang kadang buat hati mak terluka. Kami tahu! Maafkan kakak ....! Adik cakap hari ini dia nak buatkan mak carrot cake, kalau kakak ada kat sana pasti kita boleh makan sama-sama.




Bagus juga adik buatkan mak kek, sebab makkan tak suka makan kek yang dibeli di mana-mana bakery. Mak selalu was-was soal halal dan haram. Mak rajin masak dan memang pandai masak sebab mak tak suka makan dekat kedai kan? Selama anak-anak mak duduk dengan mak, semua makan dekat rumah. Mak pandai buat macam-macam kuih sebab masa susah dulu, mak jual kuihkan? Mak bangun 4 pagi untuk buat kuih dan sarapan untuk kami pergi sekolah. Kakak ingat lagi, sesekali dalam setahun mesti mak terlambat bangun buatkan breakfast untuk anak mak, mungkin siang mak penat sangat kerja di bendang dan mak akan bagi kami seorang RM1 untuk 50sen makan pagi dan 50sen makan tengahari. Bila mak lambat bangun, mesti mak cakap, "mak minta maaf, mak tak sedaq langsung tadi, nah ambil RM1 nie, jangan lupa makan pagi". Tapi bukan selalu pun kami dapat RM1 tu, setahun adalah sekali dua. Sebabnya, mak jarang gagal untuk bangun awal pagi seawal 4 pagi!"



Kakaklah anak yang selalu buat mak rasa susah hati. Kakakkan banyak songeh. Cerewet. Suka marah. Kedekut pun ye jugak. Diakui kakak banyak ikut perangai ayah yang suka bercermat!  Di usia 60 tahun, mak masih lagi larat dan terdaya melayan perangai kakak yang macam-macam. Kadang banyak cakap. Kadang diam. Kakak pula cepat menangis, tapi mak hamba Allah yang cool memanjang dari kakak lahir sampai kakak dah 30-an sekarang nie! Satu benda yang buat kakak sayu hati dengan mak bila mak cakap, "kalau mak duit banyak, mak nak beli kereta dekat kakak, sebab kakak takda sapa jaga!" ... "mak nak bawa kakak pergi umrah!". Siapa kata takda sapa jaga kakak? Mak ayah, abang dan adik-adikkan ada. MB pun ada jagakan kakak sebagai kawan. Dan yang paling nyata ALLAH ada untuk jaga kakak. Mak jangan risau. 



Untuk mak yang kakak sayang dunia akhirat kakak, kakak dah tak boleh tulis panjang-panjang. Risau rumah kakak banjir dengan airmata. Kalau adik buka blog nie kat mak, mak bacalah apa yang kakak tulis nie. Selamat Hari Lahir Yang ke-60 tahun mak! Kakak sayang mak dunia dan akhirat kakak, walaupun perangai kakak nie macam-macam, kakak nak mak tahu kakak sayang mak sangat-sangat!!






Aku suka cucuq peneram mak aku buat! Lembut dan sedap.






 #baik aku stop tulis. rasa macam dah banjir sket, sebab aku tak macam mak aku yang tabah tu!










  
CK : Lagi panjang aku tulis, lagi banyak airmata aku keluar! Sebab sepatutnya time ini aku ada dengan mak aku dekat kampung. Tapi bajet tak mengizinkan aku untuk balik. Tuhan saja yang tahu!!

6 comments:

  1. selamat hari lahir utk mak akak... sy bc pun sedey.. =(

    ReplyDelete
  2. selamat hari lahir kat ibu tercinta ^^ semoga bahagia bersama keluarga ya..
    hehhehe~

    mata mcm nak bnjir gak T.T

    ReplyDelete
  3. Selamat Hari Lahir untuk mak~ Moga panjang umur dan di murahkan rezeki ;)

    ReplyDelete
  4. salam akak.. mula2 lady baca.. lady ingat dia tu seorang lelaki.. bila di baca seterusnya.. baru tahu die seorang perempuan.. bila baca sampai akhir.. rupannya dia ibu akak..

    sukarnye menjadi seorang yang tabah seperti itu.. patut dijadikan contoh ikutan..

    Selamat hari lahir untuk ibu akak.. sg sejahtera dunia akhirat.. ameeennn..

    ReplyDelete
  5. doakn lah kebahagiaan ibumu sentiasa :)

    ReplyDelete
  6. ibu adalah insan yg paling sayangkan kita & paling kita sayangkan?

    ReplyDelete

Tinggalkan komen di sini ... Terima kasih ;=)

MAKLUMAN : Jangan Tinggalkan Komen Berbentuk URL Link. Komen Berbentuk URL Link Akan Di Delete Bagi Mengelak Blog Ini Dianggap Sebagai "BLOG SPAM" Oleh Pihak Google!