Sunday, December 5, 2010

Konvensyen BN Bincang 7 Agenda Penting

5/11/2010 - Utusan Online


PUTRAJAYA 4 Dis. - Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang akan berlangsung esok bakal membincangkan tujuh agenda penting berkaitan hala tuju dan usaha pengukuhkan parti agar ia terus kekal relevan di hati rakyat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tujuh agenda itu ialah gagasan 1Malaysia, sosio-ekonomi, isu keselamatan, agama dan pendidikan.

Selain itu katanya, undang-undang dan pencegahan rasuah serta kaedah terbaik bagi meningkatkan sistem penyampaian kerajaan turut menjadi fokus utama pada konvensyen yang akan diadakan di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

''Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dijangka menyampaikan mesej kepada semua ahli komponen khususnya mengenai konsep 1Malaysia sebagai langkah terbaik menyatupadukan rakyat yang mempunyai kepelbagaian kaum.

''Ini termasuk memberi keutamaan kepada rakyat dalam setiap perkara berdasarkan sikap inklusif tanpa eksklusif yang harus diamalkan dan banyak perkara lain akan dibincangkan kerana sudah enam tahun kita tidak berkumpul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan program Juara Rakyat Parlimen Putrajaya, di sini hari ini.

Katanya, setakat semalam, seramai 2,340 ahli BN daripada 13 komponen parti mengesahkan kehadiran mereka pada konvensyen itu.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berucap mewakili UMNO, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mewakili MCA selaku Presiden parti itu manakala Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berucap mewakili partinya.

Turut berucap ialah Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dan Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Tengku Adnan, konvensyen tersebut bukan bertujuan untuk mengesahkan apa-apa pindaan perlembagaan parti kerana perkara itu hanya dilaksanakan oleh Dewan Tertinggi BN.

''Dewan Tertinggi BN mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan dan mengubah apa saja yang mereka dirasakan betul dan keputusan mereka berdasarkan keputusan sebulat suara iaitu sekiranya satu parti tolak maka sesuatu pindaan itu tidak boleh dilaksanakan," jelasnya.

Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, penganjuran konvensyen itu juga antara lainnya adalah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

''Kita anggap esok akan berlaku pilihan raya yang mana kita perlu bersedia setiap masa selain 'membersihkan' nama kita disebabkan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh parti pembangkang," katanya.

Tengku Adnan berkata, konvensyen itu mengandungi program yang padat dan ketat dengan setiap pemimpin parti komponen termasuk sayap kanan akan diberi peluang sekurang-kurangnya 15 minit untuk memberikan input dan kaedah bagi mengukuhkan BN.

Ia dimulakan dengan majlis makan malam di Seri Perdana malam ini disusuli dengan ucaptama oleh Najib selaku Pengerusi BN pagi esok.



p/s : Baru sudah dengar ucapan PM!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen di sini ... Terima kasih ;=)

MAKLUMAN : Jangan Tinggalkan Komen Berbentuk URL Link. Komen Berbentuk URL Link Akan Di Delete Bagi Mengelak Blog Ini Dianggap Sebagai "BLOG SPAM" Oleh Pihak Google!