Thursday, October 13, 2011

Kegagalan Memberikan Aku Sesuatu

Assalamualaikum ...



Penulisan aku kali ini agak serius. Tiba-tiba rasa ingin berkongsikan sesuatu yang amat bermakna.  Sedikit pengalaman yang aku ingin kongsikan bersama. Diri aku, berbanding dengan orang lain terutama abang dan adik-adik aku, aku ini tidaklah seberjaya mana pun. Kadang-kadang aku rasa diri aku tiada apa-apa. Satu perasaan negatif yang sentiasa lahir bila aku gagal dan kecewa suatu tika dulu.


Tapi kegagalan mengajar aku menjadi manusia yang kuat dan tabah. Dalam kuat dan tabah, aku masih lagi merupakan manusia yang cepat menangis, cepat putus asa dan juga cepat sedar dari sikap berputus asa. Aku ingat lagi, selepas aku tamat belajar dengan jayanya. Jaya tetapi tidak secemerlang mana bagi seorang anak yang agak kurang dan sederhana berbanding adik-beradik yang lain, aku gagal mendapat pekerjaan yang baik dan sesuai dengan kelulusan aku. Cuma aku punya satu sikap, tidak memilih kerja dan suka mempelajari sesuatu yang baru. 


Selepas tamat latihan praktikal, aku ditawarkan sebagai Pembantu Tadbir sambilan di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan (sebelum kementerian ini dipecah kepada 2 kementerian). Sambilan dengan bergaji hari sebanyak RM26.00++ sehari.  Gaji pertama yang aku terima selepas grad hanya RM260.00. Syukur! Gaji hari, dah aku ditawarkan kerja tengah bulan. Jadi hanya itu yang aku terima. 3 tahun aku di Kementerian sana. Jenuh juga aku mencari pekerjaan tetap, letih mengisi borang kerja jangan cakaplah. Berdoa pada Maha Pencipta sampai berjurai airmata jangan cakaplah! Masa inilah wujud perasaan rendah diri aku yang keterlaluan.


Ketika itu, aku kategorikan diri aku sebagai manusia yang gagal. Hidup menumpang dengan abang.  Abang aku pula masa itu, baru sahaja mendirikan rumah tangga. Bertambah bersyukur sebab kakak ipar aku sangat baik. Sangat sporting, merendah diri dan tidak pernah berkira dengan aku. Serius, abang aku juga sangat baik orangnya. Aku tak perlu bayar sesen pun bila tinggal bersama dengannya. Tapi aku tetap  bagi abang duit untuk beli barang dapur antara RM50-100.00 sebulan. Bergantung kepada gaji yang aku dapat. Pada mak dan ayah, aku hanya bagi RM50.00 sahaja. Kadang bagi, kadang faham-faham sendirilah!


Sepanjang 3 tahun itu juga,  aku tidak pernah sediakan baju dan kelengkapan menyambut Hari Raya untuk diri sendiri. Tidak pernah! 3 tahun aku beraya tanpa baju baru. Itu hakikat! Semasa bergelar student, semuanya masih ditanggung oleh ibu ayah. Tetapi bila dah bekerja, rasanya aku perlu hadapi keperitan hidup aku sendiri. Dengan cara ini, ia dapat mengajar diri aku tentang kepayahan ayah mencari rezeki untuk aku, mak dan adik-beradik yang lain termasuk makcik aku yang disara ayah sebelum dia berkahwin. Aku tidak kisah tidak bertukar baju baru, janji aku ada pekerjaan yang memberikan aku rezeki halal. Sedikit tapi berkat mak aku cakap! Sekarang aku dah mampu siapkan kelengkapan berhari raya untuk diri sendiri dan mak ayah. Alhamdulillah ... suatu kebanggaan bagi diri aku!



Kepayahan yang aku lalui dulu, keperitan berjalan kaki, menunggu bas dan berebut-rebut menaiki LRT STAR di Salak Selatan mengajar aku macam-macam perkara. Dan juga bermacam-macam jenis manusia yang aku jumpa selama hampir 3 tahun aku berulang alik dari Desa Petaling ke PWTC. Penat! Letih! Jangan cakaplah. Demi sesuap nasi untuk diri sendiri, aku gagahkan juga. Kecewa rasa hati masa itu, hanya Allah yang tahu. Kecewa sebab usaha aku mencari pekerjaan tetap masih belum berada dalam genggaman.


Malu rasanya nak balik kampung. Mesti orang kampung sibuk bertanya, jadi pegawai besar ke? Mesti gaji banyak! Dan macam-macam lagi. Gaji aku cuma cukup makan masa itu. Kadang-kadang terkurang. Puasa adalah jawapannya. Tak pernah pun aku cakap dengan abang yang aku tak berduit. Sebab aku sedar, aku cuma menumpang berteduh dengannya, jadi untuk menyusahkan dia dari segi kewangan amat tidak patut sekali.


Seingat aku, cuma sekali aku terpaksa pinjam duit dari abang sebanyak RM100.00. Itupun sebab gaji aku terlalu lambat. Aku terpaksa pinjam kerana perlu menghadiri temuduga di Kuantan, Pahang. Jauhlah sangat aku buat permohonan kerja! Masa itu tugas aku merebut peluang yang dikira selamat. Walaupun tiada rezeki di sana, tetap ia memberikan aku satu pengalaman. Dapat juga aku bersemuka dan merasa ditemuduga oleh Y.Bhg. Datuk Maznah Mazlan. Satu pengalaman.



Aku memang terlalu hormat abang aku, walaupun dia tegas dan jarang berborak dengan aku, tapi dia seorang yang memahami kadang-kadang! Dia yang nasihatkan aku agar mendapat pekerjaan tetap terlebih dahulu sebelum memikirkan soal perkahwinan! Katanya yang aku pegang sampai hari ini,



  • "Carilah seseorang yang sayangkan diri kita, dan bukan diri kita yang terlebih sayangkan dia! Kerana orang yang sayangkan kita akan jaga kita sampai hujung nyawa selagi Allah izinkan!".


  • "Cari kerja tetap, bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk keluarga. Jangan terlalu berharap  dan bergantung kehidupan dengan lelaki bila dah berkahwin. Kerana suami itu hanya pinjaman Allah buat kita. Jika suami kita tidak diambil oleh tangan orang lain, pastinya suami kita diambil oleh Allah! Dengan pekerjaan kita, sekurang-kurangnya kita mampu jaga dan beri makan pada anak-anak. Sebarang kemungkinan boleh berlaku!"



Ayat abang aku tidaklah seskema itu, aku cuma taip dalam ayat yang boleh beri pemahaman kepada mereka yang membaca. Sebab itulah aku tidak mampu nak berfikir soal kahwin bila aku hanya bekerja sambilan. Walaupun orang cakap jodoh itu satu ketentuan Allah. Aku memilih mengikut nasihat abang aku, mendapat pekerjaan tetap dan membalas jasa mak ayah aku yang termampu sebelum aku berumahtangga.


Aku syukur bila Allah semakin permudahkan urusan hidup aku. Aku bangga bila aku boleh bawa mak  ayah aku naik kereta yang aku beli dengan duit yang aku kumpul selama 5 tahun. Mak aku cakap, "Mak tak sangka dapat naik kereta baru anak mak balik kampung!". Menitis airmata aku masa itu. Aku tahu, mak memang tahu susah payah hidup aku berbanding adik beradik yang lain. Mak aku cakap, jalan hidup aku tidak semudah jalan yang ditempuh oleh abang dan adik-adik aku! Tapi aku selalu dapat apa yang aku inginkan, cuma perjalanan untuk sampai itu memang lambat. Aku redha! Aku dalam usaha memenuhi apa yang mak ayah aku inginkan selagi aku mampu. Cuma bab ijabkabul sahaja aku serahkan pada Maha Pencipta. Kerana ia berada diluar kemampuan aku untuk menentukan. Hak aku cuma merancang!



Allah tidak akan menduga dan memberikan ujian kepada hambaNya untuk selamanya. Dugaan dan ujian yang datang adalah di atas kemampuan hambaNya untuk menanggung. Alhamdulillah setelah cukup 3 tahun, aku mendapat pekerjaan tetap di syarikat swasta di Putrajaya. Walaupun gaji aku tak cecah pun RM1000.00 sebulan, tetapi penat aku semakin kurang. Rumah dan tempat kerja amat dekat jaraknya. Aku tidak perlu bangun terlalu awal, tidak perlu berjalan kaki, tidak perlu menunggu bas apatah lagi untuk bertolakan di pintu masuk LRT STAR!


Dan sekarang aku dah 6 tahun bekerja di sektor Kerajaan. Juga di Putrajaya. Syukur yang teramat. Semuanya berkat doa ibu dan ayah aku. Putrajaya adalah destinasi yang buat aku rasa gembira dan agak tenang! Dan MOCAT adalah tempat kerja yang terbaik bagi diri aku. Aku akan kenang MOCAT dan kawan-kawan di sana selagi diizinkan Allah!



Kegagalan dan kesusahan aku dulu berbalas. Aku masih kenang susah payah yang aku lalui. Aku bersyukur dengan kegagalan dan kesusahan dulu, telah memberikan aku pengalaman hidup yang amat bermakna.


Setiap kali aku "jatuh", aku akan cari motivasi diri yang boleh buat diri aku "hidup semula"! Membaca artikel dan buku motivasi diri adalah minat aku dari dulu ... Jadi buat mereka yang rasa rendah diri, gagal, putus asa .... carilah MOTIVASI DIRI, selain memohon daripadaNYA dan berkat doa kedua ibubapa kita!


Aku masih lagi memburu kejayaan, kekayaan dan ketenangan, cuma akhir-akhir ini matlamat aku masih kurang jelas. Semangat aku seakan hilang, jadi aku sedang dalam proses menguatkan semangat diri mencari apa yang aku inginkan dalam hidup ini!






CK : Hidup sesingkat ini, tidak sesuai untuk dihabiskan dengan airmata!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen di sini ... Terima kasih ;=)

MAKLUMAN : Jangan Tinggalkan Komen Berbentuk URL Link. Komen Berbentuk URL Link Akan Di Delete Bagi Mengelak Blog Ini Dianggap Sebagai "BLOG SPAM" Oleh Pihak Google!